Kita sering tersenyum dan bersenang
hati apabila kita terbaca akan berita-berita dan cerita-cerita kebaikan yang
ditunjukkan sesetengah individu terhadap individu yang lain. Kisah-kisah
seperti ini memberi kita sinar dan harapan bahawa di dunia ini masih lagi
terdapat manusia yang berhati manusia. Namun, ada satu perkara yang kita
benar-benar lupa apabila kita membaca kisah-kisah tersebut. Kita gemarkan
kebaikkan, tapi adakah kita antara ejen-ejen penyebar kebaikkan tersebut? Ramai
yang mahukan perubahan, tetapi tidak ramai yang mahu berubah. Adakah kita
tergolong dalam golongan yang ramai? Atau kitakah yang sedikit itu?
Baru-baru ini saya ada terlihat satu
gambar yang dipaparkan di media sosial yang memaparkan beberapa ekor anjing
sedang berada di dalam sebuah kereta peronda polis (kejadian ini tidak berlaku
di Malaysia kerana kereta peronda tersebut tidak bercorak seperti kereta polis
peronda Malaysia). Keterangan mengenai gambar itu menceritakan bahawa
anjing-anjing itu telah keluar dari rumah (mungkin ingin keluar bersiar-siar)
tetapi malangnya mereka tidak menemui jalan pulang. Akhirnya, mereka dibawa
balik oleh pihak polis dengan menaiki kereta peronda. Kemungkinan anggota polis
itu berjaya mengesan pemilik anjing-anjing tersebut melalui kolar haiwan
peliharaan yang dipasang di leher anjing-anjing itu.
Persoalan yang sebenar di sini adalah
adakah itu tugas seorang anggota polis untuk membawa anjing yang dijumpai di
jalanan pulang ke rumah? Tidak bukan. Namun, mengapa anggota polis itu
melakukannya juga? Mungkin perkara ini kelihatan kecil dan remeh bagi
sesetengah individu, namun perkara yang kononnya kecil dan remeh inilah yang
sebenarnya memberi impak yang positif dalam hidup kita. Dalam keadaan dunia
yang huru-hara ini, sedikit nilai positif mampu mengubah dunia keseluruhannya.
Walaupun anggota polis itu tidak
mendapat kenaikkan pangkat, mahupun memenuhi KPI (Key Performance Index)
hariannya, beliau tetap melakukan tugas itu dengan baik. Beliau sanggup
bersusah-payah untuk memandu ke kawasan yang mungkin di luar jagaannya
semata-mata untuk menghantar anjing tersebut. Semua ini mampu berlaku
sekiranya sesorang itu memiliki hati yang suci dan ikhlas terutamanya dalam
menjalankan tugas.
Adakah kita seperti itu apabila kita
menjalankan pekerjaan kita? Saya turut mengajukan persoalan yang sama seperti
itu pada diri saya, adakah aku ikhlas dalam menjalankan tugas? Atau aku bekerja
kerana duit semata-mata?
Jika kita seorang doktor, adakah tugas
kita terhad kepada merawat pesakit semata-mata? Adakah bukan tugas seorang
doktor untuk mengutip sampah di jalanan dan buang di tempat yang sepatutnya?
Jika kita seorang jurutera, adakah
tugas kita hanya di tapak-tapak pembinaan dan pejabat semata-mata? Adakah bukan
tugas seorang jurutera untuk mengambil berat keadaan mereka yang sedang dilanda
kesusahan dan membantu mereka?
Jika kita seorang menteri, adakah tugas
kita hanya untuk memenangi pilihan raya dan berdebat di Parlimen semata-mata? Adakah
bukan tugas seorang menteri untuk memimpin tangan seorang yang buta untuk
melintas jalan?
Lihatlah kesan gambar yang sekeping ini
pada saya, walaupun ia hanya sekecil-kecil bantuan, namun ia mampu membuka mata
saya untuk menjadi lebih bersemangat dan lebih ikhlas dalam pekerjaan. Ia juga
mendorong saya untuk sama-sama berkongsi apa yang saya rasai bersama pembaca
lain dan secara tidak langsung usaha yang sekecil itu mampu tersebar ke seluruh
dunia.
Untuk itu, tidak kiralah siapa pun
kita, dari setinggi-tinggi darjat sehingga ke serendah-rendah pangkat, ingatlah
untuk sentiasa bekerja dan melakukan sesuatu dengan hati yang ikhlas. Niatkan perbuatan
kita itu untuk kebaikan sesama manusia dan bukan kerana keuntungan diri kita
semata-mata. Biar pun perkara itu kecil pada pandangan kita, namun impaknya
besar pada dunia. Jika tidak secara jasmani, mungkin terkesan pada rohani.
Kita sukakan kebaikan, marilah kita
sama-sama menyebarkan kebaikan. Jika kita tidak memulakannya, siapa lagi yang
akan melakukannya?
Jika perubahan yang kita dambakan,
marilah kita berubah ke arah kebaikan.
