Saturday, May 30, 2015

Hati yang ikhlas berkeringat

Kita sering tersenyum dan bersenang hati apabila kita terbaca akan berita-berita dan cerita-cerita kebaikan yang ditunjukkan sesetengah individu terhadap individu yang lain. Kisah-kisah seperti ini memberi kita sinar dan harapan bahawa di dunia ini masih lagi terdapat manusia yang berhati manusia. Namun, ada satu perkara yang kita benar-benar lupa apabila kita membaca kisah-kisah tersebut. Kita gemarkan kebaikkan, tapi adakah kita antara ejen-ejen penyebar kebaikkan tersebut? Ramai yang mahukan perubahan, tetapi tidak ramai yang mahu berubah. Adakah kita tergolong dalam golongan yang ramai? Atau kitakah yang sedikit itu?

Baru-baru ini saya ada terlihat satu gambar yang dipaparkan di media sosial yang memaparkan beberapa ekor anjing sedang berada di dalam sebuah kereta peronda polis (kejadian ini tidak berlaku di Malaysia kerana kereta peronda tersebut tidak bercorak seperti kereta polis peronda Malaysia). Keterangan mengenai gambar itu menceritakan bahawa anjing-anjing itu telah keluar dari rumah (mungkin ingin keluar bersiar-siar) tetapi malangnya mereka tidak menemui jalan pulang. Akhirnya, mereka dibawa balik oleh pihak polis dengan menaiki kereta peronda. Kemungkinan anggota polis itu berjaya mengesan pemilik anjing-anjing tersebut melalui kolar haiwan peliharaan yang dipasang di leher anjing-anjing itu.



Persoalan yang sebenar di sini adalah adakah itu tugas seorang anggota polis untuk membawa anjing yang dijumpai di jalanan pulang ke rumah? Tidak bukan. Namun, mengapa anggota polis itu melakukannya juga? Mungkin perkara ini kelihatan kecil dan remeh bagi sesetengah individu, namun perkara yang kononnya kecil dan remeh inilah yang sebenarnya memberi impak yang positif dalam hidup kita. Dalam keadaan dunia yang huru-hara ini, sedikit nilai positif mampu mengubah dunia keseluruhannya.
                                            
Walaupun anggota polis itu tidak mendapat kenaikkan pangkat, mahupun memenuhi KPI (Key Performance Index) hariannya, beliau tetap melakukan tugas itu dengan baik. Beliau sanggup bersusah-payah untuk memandu ke kawasan yang mungkin di luar jagaannya semata-mata untuk menghantar anjing tersebut. Semua ini mampu berlaku sekiranya sesorang itu memiliki hati yang suci dan ikhlas terutamanya dalam menjalankan tugas.

Adakah kita seperti itu apabila kita menjalankan pekerjaan kita? Saya turut mengajukan persoalan yang sama seperti itu pada diri saya, adakah aku ikhlas dalam menjalankan tugas? Atau aku bekerja kerana duit semata-mata?

Jika kita seorang doktor, adakah tugas kita terhad kepada merawat pesakit semata-mata? Adakah bukan tugas seorang doktor untuk mengutip sampah di jalanan dan buang di tempat yang sepatutnya?

Jika kita seorang jurutera, adakah tugas kita hanya di tapak-tapak pembinaan dan pejabat semata-mata? Adakah bukan tugas seorang jurutera untuk mengambil berat keadaan mereka yang sedang dilanda kesusahan dan membantu mereka?

Jika kita seorang menteri, adakah tugas kita hanya untuk memenangi pilihan raya dan berdebat di Parlimen semata-mata? Adakah bukan tugas seorang menteri untuk memimpin tangan seorang yang buta untuk melintas jalan?

Lihatlah kesan gambar yang sekeping ini pada saya, walaupun ia hanya sekecil-kecil bantuan, namun ia mampu membuka mata saya untuk menjadi lebih bersemangat dan lebih ikhlas dalam pekerjaan. Ia juga mendorong saya untuk sama-sama berkongsi apa yang saya rasai bersama pembaca lain dan secara tidak langsung usaha yang sekecil itu mampu tersebar ke seluruh dunia.

Untuk itu, tidak kiralah siapa pun kita, dari setinggi-tinggi darjat sehingga ke serendah-rendah pangkat, ingatlah untuk sentiasa bekerja dan melakukan sesuatu dengan hati yang ikhlas. Niatkan perbuatan kita itu untuk kebaikan sesama manusia dan bukan kerana keuntungan diri kita semata-mata. Biar pun perkara itu kecil pada pandangan kita, namun impaknya besar pada dunia. Jika tidak secara jasmani, mungkin terkesan pada rohani.

Kita sukakan kebaikan, marilah kita sama-sama menyebarkan kebaikan. Jika kita tidak memulakannya, siapa lagi yang akan melakukannya?


Jika perubahan yang kita dambakan, marilah kita berubah ke arah kebaikan.

No comments:

Post a Comment